Dari HAWA unTuk ADAM
Adam ku,
Kau sebenarnya imam dan aku adalah makmum. Aku adalah pengikutmu kerana kau adalah ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, maka lalailah aku.Wahai Adam, kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu. Akalmu sembilan, nafsumu satu. Akalku satu, nafsuku beribu. Oleh itu, Adam, pimpinlah tangan ku kerana aku sering lalai dan lupa, sering tergelincir ditolak nafsu dan konco-konconya.
Adam ku,
Aku suka kalau kau mengimami solat ku pada setiap waktu. Akan aku aminkan doamu agar kelak luas syurga ku. Lebih aku suka kalau kau bangunkan aku bertahajud bersamamu, agar nanti diberkati Ya Rabbi. Kenalkanlah aku pada majlis-majlis agama. Ajarilah aku Yassin dan memahami Al-Quran. Kau ajaklah aku mengalunkan jantung Kitabullah di malam Jumaat yang penuh barakah. Khabarkan pada ku tentang fardu-fardu yang patut aku tahu. Bimbinglah aku dengan amar ma'ruf dan nahi mungkar.
Adam ku,
Ajari aku agar menjadi isteri mu yang solehah. Didiklah aku supaya menjadi permata dikaca lembah. Selimutkan aku dengan iman dan taqwa bekal ke jalan Allah. Ingatkan aku supaya hormat, tunduk dan patuh padamu setiap waktu. Tolonglah aku Adam agar aku tidak beku. Bantulah aku agar otak ku tidak buntu. Selamatkanlah aku daripada seksa api neraka yang tidak tegar aku tanggung. Pimpinlah aku menuju Nur al-Jannah. Tarbiahlah aku supaya kelak aku calon srikandi solehah. Bantulah aku dalam menyemai sifat mahmudah. Moga aku dapat menjadi secerdik Aisyah Humairah Rasulullah, setulus hati dan kasih laksana Siti Khadijah, sezuhud dan sepatuh Rabi'atul Adawiyah, sekuat iman umpama taatnya Sumayyah, seikhlas dan semurni hati Sa'adiah dan segagah dan seteguh Nailah al-Farashiyah yang tegar meski tangan bermandi darah membela Khalifah Allah. Seindah hiasan adalah wanita solehah, moga aku hiasan terindah hidupmu Adamku.
-Amin-